Friday, July 31, 2009

Kebenaran ada di luar sana


Tentu anda masih ingat Siri TV terkenal X-Files. Jika anda ingat, anda pasti tidak lupa "tagline" siri tersebut "The Truth is Out There". Memang benar, kebenaran itu ada di luar sana, cuma mungkin kita terlalu lena diulit mimpi yang indah atau juga terpaku dengan mimpi yang ngeri sehinggakan kita tidak berupaya bangkit dari tidur. Pernahkah anda menganalisa sesuatu perkhabaran yang anda terima setiap hari? atau anda hanya menerimanya sebagai satu berita yang benar?

Apakah itu kebenaran? Apa yang membuatkan kita percaya kepada sesuatu perkara? Sebenarnya jawapannya amat mudah. Percaya itu datang dari akal kita. Jika akal kita menerima logik sesuatu perkara maka kita akan mempercayainya. Bagaimana pula akal memproses sesuatu data sehingga ia mampu menilai logik atau tidak? Jawapannya, akal hanya dapat memproses sesuatu data berdasarkan input "raw" dari segi pembacaan dan pemerhatian. Apa akan terjadi jika pembacaan dan pemerhatian yang dialami oleh akal kita itu sesuatu yang tidak benar, satu penipuan yang besar? Sesuatu yang disusun bagi memanipulasi pemikiran akal kita? Saya yakin saudara sudah dapat mengagak jawapannya. Akal akan mempercayai sesuatu yang sepatutnya tidak, maka kebathilan atau penipuan itu akan dianggap satu kebenaran.

Anda pasti pernah mengalami mimpi ketika tidur bukan? Semasa anda bermimpi pernahkah anda merasakan perkara yang anda mimpi itu sebenarnya sesuatu yang tidak benar atau sesuatu yang tidak berlaku? Tidak bukan? Kita hanya sedar perkara itu tdak benar dan tidak berlaku apabila kita terjaga dan bangun dari tidur. Itulah bukti sesuatu yang kita rasakan benar itu berkemungkinan adalah sesuatu yang tidak kerana akal tersalah mengintepretasi khabar dan situasi.

Bangunlah dari tidur anda, carilah kebenaran yang ada diluar sana.


Siapakah aku?

Pernahkah anda bertanya soalan ini kepada diri anda sendiri? Pada pendapat saya soalan ini adalah soalan yang terpenting untuk kita menjawabnya? Kita sering menuding jari dan membuat persepsi terhadap orang di sekeliling kita, seolah-olah kita amat memahami tentang orang yang diperkatakan. Namun apabila kita mula bertanya tentang diri kita sendiri, amat sukar untuk kita menafsirkannya, seolah olah kita tidak mengenali diri kita sendiri.

Bangunlah saudara saudara sekalian, anda bukan dilahirkan hanya untuk menjadi seorang jurutera, doktor atau pegawai polis semata-mata. Kita dijadikan untuk lebih dari itu. Mungkin kita sekarang sedang diulit mimpi. Mimpi yang diwujudkan bagi mengaburi realiti sebenar kehidupan ini.